DERITA kekalahan besar di tangan Kedah minggu lalu masih belum dapat dipadam Selangor apabila diaibkan pula Perlis 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, yang juga kekalahan pertama Selangor di tempat sendiri, malam tadi. Persis harimau luka, Selangor yang diaibkan 6-2 minggu lalu memulakan rentak permainan dengan garang apabila melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol pelawat yang turut mahu menebus kekecewaan mereka yang tewas 1-0 kepada Terengganu sebelum ini. Mohd Amirulhadi Zainal terlebih dulu mencuba penjaga gol Singa Utara, Mohd Yusoff Ishak pada minit ke-10 menerusi cubaan leret kencang tapi ternyata ia masih belum mencukupi bagi memberikan gol pertama apabila ditepis keluar.
Selangor yang mengharungi perlawanan kelima hampir mendapat gol pertama tiga minit selepas itu apabila P Gunalan yang tidak dikawal menanduk tepat ke gawang hasil sepakan sudut dan ketika Mohd Yusoff sudah tertewas, pertahanan Perlis berjaya mengeluarkan bola tepat di garisan gol. Penyerang utama Selangor, Frank Seator turut terlepas peluang keemasan pada minit ke-18 apabila dia melakukan larian solo menarik untuk menewaskan tiga pertahanan lawan sebelum rembatan derasnya berjaya ditepis Mohd Yusoff. Penjaga gol Perlis itu sekali lagi cemerlang menafikan rembatan leret Seator dua minit selepas itu yang menerima hantaran tepat Mohd Amri Yahyah selain sepakan lencong Safee Sali yang sempat dikuis keluar pada minit ke-30. Keghairahan skuad Merah Kuning yang tampak semakin yakin mampu menghasilkan kemenangan di tempat sendiri, akhirnya memakan diri apabila ayam tambatan Perlis, Phillimon Chipeta berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-32. Chipeta yang hanya berjaya melakukan satu cubaan sebelum itu, menggunakan kesempatan kealpaan pertahanan lawan apabila menerima hantaran jauh dari bahagian tengah sebelum mengawal bola walaupun diapit tiga pertahanan, sebelum merembat melepasi penjaga gol, Mohd Amir Faizal. Babak kedua bermula dengan tanggapan awal Selangor akan kembali menguasai permainan, jelas tidak menjadi kenyataan apabila pelawat dari utara tanah air itu seakan mendapat rentak dan mula menguasai permainan. Chipeta yang bertindak sebagai penyerang solo bijak mengawal posisinya bagi mengancam kubu tuan rumah hasil persefahaman baik dengan jentera tengah yang dikemudi kapten pasukan, Yusri Che Lah. Tempoh 25 minit terakhir menyaksikan Selangor memperkemaskan jentera serangan mereka apabila mengeluarkan pemain tengah Mohd Safiq Rahim dan digantikan oleh Mohd Nasriq Baharom. Dan pada minit ke-68, Safee hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi satu cubaan yang seharusnya berjaya merobek gawang pelawat apabila dia menyambung hantaran dari sebelah kanan gawang betul-betul di depan gol. Namun pujian sekali lagi harus diberikan buat Mohd Yusoff yang sekali lagi berada di kedudukan tepat untuk menepis rembatan itu seterusnya menyelamatkan gawangnya dari dibocori. Di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, kelab DPMM FC mengejutkan pendahulu Liga Super, Kedah, 2-0 sekali gus menyaksikan juara bertahan itu disanggah daripada kedudukan tangga teratas carta liga. Selepas babak pertama berkesudahan tanpa jaringan, DPMM FC bangkit dalam separuh masa kedua untuk menyumbatkan dua gol untuk mengecewakan Kedah yang tampil penuh bersemangat selepas kemenangan besar 6-2 ke atas Selangor minggu lalu.
SUMBER:: www.bharian.com.my
0 komen anda:
Catat Ulasan