JURULATIH negara, B Sathianathan berpeluang mencongak 'bayangan emas' di Sukan Sea Korat lebih awal apabila anak buahnya mengadakan perlawanan persahabatan dengan barisan tuan rumah Thailand di Bangkok, malam ini.
Hadir dengan tekad menamatkan kemarau 18 tahun dengan sasaran 'tiada kilauan lain selain emas', skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan (B-23) turut berpeluang mencari 'bekalan semangat', selain menilai sejauh mana persiapan mereka untuk memecah dominasi Thailand dalam temasya dwitahunan itu.
Jika tewas sekalipun, ruang kira-kira tiga minggu yang masih ada mungkin sempat buat Sathia mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan, sebelum menamakan barisan terakhirnya ke Korat, 25 November ini.
"Besar kemungkinan saya akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila berdepan Thailand kerana saya mahu menguji dan menilai sendiri kekuatan Thailand, lawan yang mungkin berdepan kami di separuh akhir atau di perlawanan akhir. "Saya juga akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila kami beraksi bertemu skuad kebangsaan Yaman dalam perlawanan persahabatan kedua di Kuala Lumpur 14 November ini," kata Sathia sebelum berlepas ke Bangkok. Selain pertemuan dengan B-23 Thailand dan pasukan kebangsaan Yaman, anak didik Sathia juga akan beraksi dalam dua lagi perlawanan memanas badan dengan skuad kebangsaan Maldives dan Bostwana, 19 dan 21 November ini. Kesempatan berada di Thailand, turut digunakan Sathia untuk mengunjungi Korat bagi melihat sendiri keadaan cuaca di sana ekoran tindakan jawatankuasa penganjur yang menjadualkan Malaysia beraksi pada jam 2 petang (waktu Malaysia) untuk perlawanan kedua Kumpulan B bertemu Laos, pada 3 Disember. "Saya perlu meninjau sendiri keadaan cuaca di Korat, ada setengah pihak mengatakan cuaca di sana dingin tetapi maklumat di internet mengatakan ia mencecah 30 darjah celsius, jadi lebih baik saya melihat sendiri keadaan cuaca di sana," kata Sathia. Sathia juga menegaskan, pemain-pemainnya harus menghormati setiap lawan tetapi tidak gentar terhadap kemampuan mereka apabila melangkah ke dalam padang. "Pemain tidak boleh memandang rendah keupayaan mana-mana pasukan, termasuk Laos yang disifatkan sebagai pasukan paling lemah dalam kumpulan. Harus diingat, Laos pernah mengejutkan Malaysia pada Sukan Sea 1997.
SUMBER::www.bharian.com.my
0 komen anda:
Catat Ulasan